Isnin, 30 Jun 2014

Cerita : Erti Sahabat

Sesi persekolahan telah bermula, tetapi Qaisara masih dibuai mimpi. Ibunya, Puan Aminah mengetuk pintu bilik anak kesayangannya. “Sara sayang, bangun cepat, nanti lambat pergi ke sekolah, mama dah siapkan sarapan pagi , nanti makan dulu sebelum pergi ke sekolah ya” . Qaisara yang masih dibuai mimpi tersentak dek ketukan dan kata-kata ibunya tadi. Dengan perasaan hampa dia bangun lalu bersiap-siap dan terus menuju ke bawah dengan menggendong beg merah jambunya untuk bersarapan. Puan Aminah dan Encik Amri tersenyum kerana melihat telatah anak kesayangan mereka yang masih mengantuk itu. Qaisara sahajalah yang mampu membuat ibu bapanya tersenyum kerana dialah satu satunya anak yang mereka ada. “ Mengantuk lagi anak papa yang comel ini? Mari sini duduk sebelah papa, kita makan sama-sama”. “Mestilah mengantuk papa, sudah lama tidak bangun awal begini, kalau cuti masih panjang, boleh Sara tidur lama-lama lagi,” balas Qaisara dengan perasaan sedih. “Sudah sudah, jangan merungut depan makanan, tidak baik, makan cepat, nanti ayah hantarkan kamu ke sekolah” nasihat Puan Aminah. Kereta Proton Preve yang kini menjadi kegilaan orang ramai berhenti di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan Simpang. “Ayah, Sara pergi dulu,Assalamualaikum’’. Qaisara mencium dan menyalami ayahnya lalu turun dari kereta. Tidak lama kemudian, kereta Proton Preve itu pun hilang dari pandangannya. Qaisara memasuki kelas baharunya iaitu 6 Amanah, kelas yang pertama sekali, dia mencari sahabatnya iaitu Aisyah dan duduk di hadapan rakannya kerana rakannya yang lain,Anis, sudah duduk di sebelah Aisyah.Sudah sekian lama tidak berjumpa sahabatnya itu. Dia bertanya khabar dan berbual tentang percutian kali ini dengan penuh bersemangat.Sahabatnya, Aisyah, juga turut menceritakan tentang aktiviti yang pernah dilakukan semasa cuti kali ini. Tepat pada pukul 7:40 pagi, loceng sekolah pun berbunyi. Guru kelas mereka iaitu Cikgu Aribah memasuki kelas itu diiringi dengan seorang budak perempuan yang bajunya kelihatan agak lusuh. “ Budak itu seperti budak baru tetapi tidak sesuai masuk kelas ini, sudahlah bajunya kotor, mesti perangainya pun tidak elok.Tolonglah,budak macam ni ke nak masuk kelas ni!” kata-kata Zara, budak paling gedik dan berlagak di sekolah Qaisara amat menyakitkan hati Qaisara kerana dia sudah menuduh budak itu sebegitu rupa. “ Memang tak ada hati perut langsung si Zara ni, kalau boleh saya nak potong lidahnya dan beri kepada anjing liar di luar sana tu.” Bebel Qaisara kepada Aisyah. “Ok murid-murid,ini Sufia murid baharu di sini, Sufia dari keluarga yang bukan berada, jadi saya harap kamu semua faham tentang masalahnya”. Kata-kata Cikgu Aribah membuatkan Qaisara dan seluruh isi kelas mengerti kecuali Zara dan kumpulannya. “ Cikgu, kenapa dia perlu masuk ke kelas ini? Dia pandai ke? dia layak ke masuk ke kelas ni? Bagi saya dia memang tidak layak untuk masuk ke kelas ini la, cikgu!” bebel Zara kepada cikgu. Dengan cikgu pun tidak hormat, sesama kawan lagi la tidak. Kata-kata Zara amat menyentuh hati Sufia,baru masuk ke kelas itu tetapi sudah diperkatakan sebegitu rupa. Hatinya sakit bagai dihiris dengan sembilu. Sufia diminta duduk di sebelah Qaisara kerana hanya di sebelah Qaisara ada tempat kosong tanpa penghuni. Qaisara meminta maaf kepada Sufia kerana mulut bisa Zara itu. “ Tidak apa Qaisara, saya sudah biasa, saya memang selalu dijadikan bahan ejekan di sekolah lama akibat penampilan diri saya.” Kata-kata Sufia membuatkan Qaisara sebak. Sesi pembelajaran pun bermula, sewaktu mata pelajaran Bahasa Melayu,pelbagai soalan ditanya dan Sufia sahaja yang sering kali mengangkat tangan untuk menjawab soalan dan disebabkan itulah dia mendapat tepukan gemuruh dari rakan sekelasnya dan mendapat sebuah hadiah daripada guru itu kerana mampu menjawab soalan yang susah. Hal ini menyebabkan Zara dan kumpulannya iri hati akan Sufia. Mereka membuat rancangan untuk mengenakan Sufia sewaktu rehat nanti. Waktu rehat pun tiba, Zara,Atikah dan Tina pun meluru laju ke meja Sufia. “ Berani kau tunjuk pandai di hadapan kami. Kau hanya menunjuk-nunjuk kepandaian kau tu, semata-mata nak buat kami sakit hati kan?!!, Sekarang bagi hadiah tu dekat aku ! Tolong cepat sikit !” . Tidak sempat Sufia mengambil hadiah itu, Zara sudah merampas dahulu tanpa segan silu dan Zara mencampakkan hadiah itu ke lantai. Lantas mereka bertiga memijak-mijak hadiah itu seperti katak yang baru belajar melompat. Zara melepaskan geramnya. Zara mengambil hadiah itu dan membuangnya ke dalam tong sampah. “ Kau nampak tu? Itulah balasan orang yang berani tunjuk pandai di hadapan kami . Ha ha ha !” Mereka ketawa tanpa ada perasaan simpati. Qaisara yang berada di situ tidak mampu berbuat apa-apa.Setelah mereka meninggalkan sahabatnya itu barulah dia berani menenangkan sahabat baharunya itu. “ Kamu jangan sedih, saya akan gantikan hadiah itu dengan hadiah yang lebih bagus. Saya janji ya” . Qaisara memujuknya. “ Tidak apalah Qaisara, saya tidak perlukan hadiah itu. Saya tidak mahu menyusahkan orang lain. Saya tidak kisah pun dia berbuat begitu kepada saya”, kata Sufia dengan tersenyum. Qaisara berasa begitu terkejut dengan Sufia walaupun dia dihina, dicaci dan diejek namun dia masih tersenyum lebar. “Tabah sungguh hatinya,” kata Qaisara dalam hati. Hari pertama di sekolah telah memberi pengalaman yang tidak terduga dalam fikirannya. Kereta Proton Preve yang pagi tadinya menghilang muncul kembali di mata Qaisara. Dia tersenyum melihat ayahnya yang kini setia mengambilnya tidak kira dia balik lambat mahupun awal. Maklumlah, tahun ini tahun penting menantinya awal September nanti.Dia sudah tidak boleh main-main lagi.Di dalam kereta, dia menceritakan segalanya kepada ayah tentang kejadian yang amat menyedihkan di sekolah tadi. Mulutnya tidak henti bercerita seperti burung murai. Sesampainya di rumah, dia menyalami ibunya dan memeluk ibunya erat-erat. Tujuh jam yang lalu,dia tinggalkan ibunya di rumah namun kerinduan yang amat sangat kepada ibunya umpama setahun tidak bertemu muka. Sayangnya dia kepada ibu bapanya tidak pernah dia abaikan. Dia berjanji, apabila dia dewasa, dia akan menjaga ibu bapanya. Waktu petang sudah pun tiba, kerja sekolah sudah dia selesaikan . Kini, misi untuk memancing pada waktu petang yang sudah lama tergendala sudah pun beroperasi semula. Dia mengajak Aisyah ke tempat biasa. Mereka tidak dapat bersama pada waktu cuti November dan Disember kerana masing-masing mengikut keluarga bercuti. Oleh itu, mereka terpaksa tunggu bulan Januari untuk memancing bersama semula. “Aisyah, bagaimana kalau kita ajak Sufia bersama memancing di sini?, Bertambah meriahkan, kalau kita ajak kawan baharu kita itu. Saya tahu tentu dia akan menolak kerana tidak ada joran. Saya ada satu cadangan saya akan beri dia pinjam joran ayah saya kepadanya.setuju?”.“Bagus juga idea awak, saya setuju 110%. Hehe.” Kata-kata Aisyah membuatkan Qaisara tersenyum sampai ke telinga. Aisyah sahaja yang faham perasaannya yang ingin membantu Sufia. Hari kedua persekolahan, dia bertanya kepada Sufia tentang cadangan mereka namun Sufia enggan menerima pelawaan itu . Bagi Sufia, dia tidak mahu turut bersama kerana tiada joran dan tidak mahu menyusahkan Qaisara kerana terpaksa meminjam joran ayah Qaisara. Qaisara tidak berputus asa, dia memujuk dan terus memujuk Sufia. Akhirnya, Sufia bersetuju disebabkan Qaisara membuat muka comel di hadapannya. Petang itu Sufia datang ke tempat itu dan disambut meriah oleh kedua sahabatnya. Mereka memancing dan Sufialah yang paling banyak mendapat ikan. “ Alhamdulillah, boleh buat makan malam nanti. Tidak sabar nak bawa pulang kepada ibu saya nanti.” Sufia gembira. “Boleh kami tahu tentang diri awak?” kata Qaisara dengan perasaan ingin tahu. “ Saya tinggal di hujung kampung ini. Saya mempunyai seorang adik,berumur 8 tahun . ibu saya hanya seorang tukang jahit dan ayah saya sudah meninggal dunia akibat kemalangan sewaktu hendak pergi bekerja dua tahun yang lalu. Manakala adik saya tidak bersekolah sebab tak cukup duit untuk bayar yuran, jadi hanya saya yang bersekolah,” kata Sufia dengan perasaan sedih. “Kami berdua mendoakan ayah awak tenang di sana” kata Qaisara dan Aisyah. Kini, baru mereka faham akan kehidupan Sufia. Qaisara berazam untuk menolong keluarga ini. Hari demi hari berlalu, setiap detik dan saat banyak perkara yang berlaku . Zara dan geng-nya tidak henti-henti mengenakan Sufia dengan cemuhan dan ejekan, apabila mereka berjaya mengenakannya, mereka akan ketawa mengilai-ngilai seperti Hantu Kak Limah dan membuat aksi gedik. Suatu hari, Qaisara membawa Sufia pulang ke rumahnya dengan kebenaran ibu Sufia. Puan Aminah dan Encik Amri terkejut melihat Qaisara membawa seorang budak perempuan yang tidak kemas memakai baju sekolah. “ Emak ,ayah inilah Sufia .” Qaisara memperkenalkan kawan baharunya itu. Encik Amri dan Puan Aminah sudah faham mengapa ramai orang tidak suka akan Sufia. Puan Aminah tersenyum melihat Sufia, beliau menjemput Sufia masuk ke rumah dan duduk di ruang tamu. Pelbagai soalan ditanya oleh Puan Aminah dan Encik Amri. Sufia menceritakan segalanya kepada kedua orang tua itu dengan diselebungi perasaan sedih. Siang sudah melabuhkan tirainya, kini, malam sudah muncul. Sufia sudah dibawa pulang petang tadi ditemani oleh Qaisara. “ Mama papa, saya rasa saya mahu ubah penampilan Aisyah menjadi lebih kemas.Saya akan memberikannya baju saya yang lama tetapi masih elok dipakai. Lagipun badannya memang sesuai dengan baju saya yang lama. Boleh tak ibu? Barulah dia dianggap seperti pelajar yang berdedikasi, menjadi contoh etika berpakaian yang baik dan berpontensi untuk mendapat 5A dalam UPSR nanti.” Cadang Qaisara dengan penuh bersemangat. “ Bernas sungguh idea si comel mama papa ni. Boleh. Tidak salah jikalau kita mahu ubah penampilan seseorang itu menjadi lebih baik dari sekarang” kata Puan Aminah. Encik Amri juga bersetuju dengan cadangan anak tunggal dan kesayangannya itu. Mereka berbangga mempunyai anak yang berhati mulia. Mulai dari esok hari, dia cuba membentuk penampilan Sufia untuk menjadi lebih baik. Setiap hari Sufia akan memakai baju yang diberi oleh Qaisara dan dia berjanji kepada Sufia bahawa jikalau dia ubah penampilan dirinya, dia tidak lagi dicaci dan dikeji oleh rakan sekelas lebih-lebih lagi Zara dan kumpulannya.Sufia akur dan menurut sahaja kehendak Qaisara. Dia juga mahu berubah tetapi tidak mempunyai rakan yang baik seperti Qaisara. Sekarang, dia mempunyai seorang rakan baik dan ingin melihat dia berubah demi masa depannya. Walaupun Qaisara anak orang berada, dia tidak sombong. Tambahan pula, peperiksaan pertengahan tahun hampir tiba, mana mungkin jikalau dia mendapat markah cemerlang tetapi penampilan diri tidak terurus. Malulah dia di hadapan semua orang nanti. Puan Aminah dan Encik Amri juga turut memberi sokongan kepada Qaisara dengan selalu menjenguk ibu Sufia jika ada kelapangan. Puan Aminah dan Encik Amri juga baik orangnya seperti Qaisara . Mereka suka menolong orang susah, lebih-lebih lagi kawan Qaisara sendiri. Berkat ketulusan dan kejujuran Puan Aminah dan Encik Amri membantu keluarga ini, keluarga Sufia sudah boleh berdikari. Adik Sufia yang dahulunya tidak bersekolah kini dapat bersekolah dengan pakaian yang baharu. Ibu Sufia mendapat tawaran sebagai penjahit di sebuah butik yang maju di sebuah pekan yang berdekatan di situ. Sufia sekeluarga berterima kasih kepada keluarga Qaisara yang sanggup menolong mereka. “ Jasa kamu semua tidak ternilai dan hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Terima kasih tidak terhingga daripada kami sekeluarga, ” kata ibu Sufia. Hari yang dinantikan sudah tiba, peperiksaan dijalankan seperti yang dijadualkan. Sufia masuk ke kelas dengan penuh kegembiraan. Satu kelas terkejut akan perubahan Sufia yang dahulu selekeh. Zara dan kumpulannya juga amat terkejut akibat perubahan Sufia itu. Zara yang dahulunya suka mencaci dan mengejek Sufia tentang penampilan diri budak itu amat terkejut sekali kerana perubahan itu membuatkan dia pula dipandang keji kerana suka mengejek budak itu pada masa ini. Peperiksaan berlalu begitu pantas dan Sufia mendapat markah cemerlang dan mendapat nombor satu di dalam kelas manakala Qaisara nombor dua dan Aisyah nombor tiga. Nasib Zara dan kumpulannya tidak bagus. Mereka bertiga mendapat tempat terakhir seperti mana Tina mendapat tempat ketiga terakhir dari keseluruhan kelas manakala Atikah kedua terakhir dan Zara terakhir sekali. Mereka berasa sungguh malu. Mereka bertiga seperti mahu menyorok di bawah meja dan tidak mahu keluar buat selama lamanya. Walaupun Sufia dikeji oleh mereka bertiga tetapi dia masih mempertahankan tiga Hantu Kak Limah ini. Zara berasa amat terperanjat dengan sifat Sufia yang masih mempertahankan mereka bertiga tetapi mereka tidak pernah melayan Sufia dengan baik sekali. Kini, mereka bertiga insaf .Mereka tidak lagi memandang rendah kepada kepada Sufia dan sifat gediknya mulai reda . Sufia, Qaisara dan Aisyah berasa senang hati dengan sifat rakan mereka itu. “Aisyah, Sufia, jom kita pergi memancing. Sudah lama kita bertiga tidak memancing. Nak tak?”. Kata-kata Qaisara membuatkan Sufia dan Aisyah gembira dan bersetuju untuk pergi memancing. Sufia juga sudah mempunyai joran sendiri dan tidak perlu meminjam joran ayah Qaisara lagi kerana ibunya sudah mampu membelikan barang keperluan anak-anaknya. Pada petang itu, tepat pukul dua petang, mereka berkumpul di tempat biasa dan memancing. Tiba-tiba cuaca yang cerah mulai redup. Hujan mulai turun renyai-renyai namun mereka tidak mengendahkannya kerana mereka menyangka hujan itu hujan biasa. Mereka bergelak ketawa dan asyik sekali memancing . Semakin lama semakin lebat dan air di sungai itu mulai meningkat. Apalagi mereka terus berlari dengan tergopoh-gapah ke tempat teduh dan tinggi untuk menyelamatkan diri. Apabila sampai sahaja di bawah pondok itu, mereka baru sedar bahawa tinggal mereka berdua sahaja. Mereka tercari-cari Sufia. Mereka panik dan takut. Tanpa mereka sedari, Sufia terjatuh kerana tersepak batu tetapi sempat mencapai ranting pokok. Sufia terkapai-kapai di ranting pokok itu. Kelihatan dahinya berdarah .Qaisara dan Aisyah tergamam seketika apabila terdengar jeritan Sufia. Tolong ! Tolong ! ,Qaisara cuba menyelamatkan Sufia tetapi apakan daya arus deras semakin menggila. Qaisara cuba sedaya upaya. Namun, dia gagal. Sufia terus direntap oleh arus yang deras. Qaisara dan Aisyah hanya mampu melihat. Sufia !!!... Hanya jeritan yang mampu diluahkan. Makin lama semakin lenyap dari pandangan mata mereka berdua. Sufia !!! Aisyah dan Qaisara terpaku. Hujan semakin lebat, Sufia hilang entah ke mana. Mereka tidak boleh pergi ke mana-mana melainkan menunggu air surut. Tempat mereka memancing itu sudah ditelenggami air. Peralatan memancing mereka juga hanyut dibawa arus deras. Beberapa jam kemudian, air mulai surut dan langit semakin cerah. Mereka berdua terus meminta bantuan penduduk kampung dan menghubungi pihak polis. Mereka juga turut memberitahu Ibu Sufia tentang kejadian itu. Selepas 15 minit kemudian, pihak polis pun tiba. Qaisara dan Aisyah menceritakan apa yang telah berlaku kepada pihak polis. Kemudian, pihak polis terus mencari Sufia yang hilang berjam-jam yang lalu. Qaisara dan Aisyah meminta maaf kepada ibu Sufia sambil menangis kerana mereka gagal menyelamatkan Sufia. Satu jam telah berlalu tetapi Sufia masih tidak ditemui.Mereka berdua berasa bimbang,lebih lebih lagi ibu Sufia yang hanya mampu meratapi kehilangan anaknya. Beberapa minit kemudian,barulah pihak polis menemukan Sufia yang hilang itu. Namun,kegembiraan yang dialami tadi hilang serta merta dan kesedihan menyelubungi diri kerana Sufia sudah tidak bernafas lagi. Kejadian itu benar-benar membuatkan Qaisara sebak.Itulah kali terakhir dia bersama Sufia . “ Kalaulah aku sempat menyelamatkannya, pasti semua ini tidak berlaku ”. Kata Qaisara dengan perasaan sebak. Kini, Sufia hanya tinggal kenangan dan mainan minda Qaisara sahaja. Qaisara sedar Erti Sahabat yang pernah singgah sebentar dalam hidupnya. Dia bersyukur dapat mengenali Sufia. Seorang yang tabah,baik hati dan tidak pernah berdendam dengan sesiapa sahaja. Qaisara kini sudah faham bahawa hidup ini rupa-rupanya ada kegembiraan dan ada juga kesedihan. TAMAT

Jumaat, 2 Mei 2014

Perkenalan XD ~~!




Lama ya gambar ini loading?? hehe,. bukanlah. gambar ini hanya gambar bergerak sahaja. kembali lagi saya, Farah dengan blog ke-3 . fuhhh sudah lama tidak menulis ya?! Tiada siapa yang mahu melihat blog ini kan? sedih nye la aiii... ~~ hmmm.
potong potong